Ahad, 24 Oktober 2010

Selamat Tinggal, Wan Indera

Saya, Wan Norazura Binti Wan Indera, cucu kepada Asiah Tuah, ingin memberitahu bahawa beliau adalah sedang di dalam kesedihan kerana anak lelakinya, Wan Indera Bin Wan Ahmad Kamal, ayah saya, telah selamat kembali ke rahmatullah pada hari Isnin, 18 Oktober 2010, pada pukul 7:40, di rumahnya di Sepang, pada umur 44 tahun.


Beliaulah yang menolong menuliskan blog ini sejak ia dibina.



Wan Indera adalah seorang insan yang sangat berjasa di dalam hidup kami semua, sentiasa menjaga kami sekeluarga pada masa senang dan juga susah, tidak mengira keadaan, sentiasa berusaha untuk meletakkan senyuman pada bibir kami walaupun hati kami sedang dilanda keresahan dan kesusahan dengan lawak-lawaknya...



Wan Indera akan sentiasa diingati di hati kami. Mari kita bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah supaya rohnya dicucuri cahaya dan rahmat dan semoga beliau ditempatkan di sisi Allah.



Al-Fatihah.



Kenangan bersama anak-anaknya...

Sabtu, 27 Mac 2010

Dah Genap 66 Tahun

Alhamdulillah...
syukur kehadrat Allah S.w.t.
Semalam genaplah usia saya 66 tahun, berbekalkan semangat dan azam baru untuk lebih ceria dalam meneruskan kehidupan ini demi kasih dan sayang terhadap anak-anak, keluarga, saudara-mara, rakan-rakan artis dan peminat semuanya. Terima kasih diatas doa anda semua, maka Allah S.w.t. telah panjangkan lagi usia saya ini hinggalah ke 66 tahun dan juga dianugerahkan kesihatan yang baik serta rezeki yang murah sehingga kini.

Sambutan Hari Lahir yang ke 66 ini telah diraikan secara sederhana aje oleh anak-anak dan saudara terdekat, tiada majlis potong kek, cuma makan KFC dan minum Teh Tarik aje kat rumah anak lelaki saya di Sepang. Tak buat majlis sebab tarikh jatuh pada hari kerja.



Saya memohon ribuan maaf kerana tidak memberikan sebarang respon sejak lebih setahun yang lalu, terlalu banyak perkara yang perlu dihadapi didalam tempoh itu. Saya akan cuba memberikan semula masa dan tumpuan kepada blog ini, kepada semua peminat yang telah menghantar email, terima kasih banyak dan bersabar ya.. saya akan cuba penuhi permintaan Mp3 tu nanti.

Selingkar Kisah Dalam Hidupku...


  • Mohd.Amirul Ariff Roslan, 14 Tahun (cucu)
16hb.April 2008, saya kehilangan cucu tersayang saya.. Amirul akibat dari serangan kanser, dia bukan sekadar cucu biasa, malah dia adalah segalanya didalam hidup saya, 14 tahun hidup dengannya bagai tak puas dinikmati, begitu cepat penghujung nafasnya menjelang tiba, tuhan lebih menyayanginya lalu terus membawanya pergi dari hidup saya, namun Amirul akan tetap bertahta dihati saya selamanya...insyallah.

  • Norlaila Ismail, 39 Tahun (menantu)
13hb.Ogos 2009, kesedihan sekali lagi muncul didalam hidup saya setelah kehilangan menantu saya Norlaila didalam kemalangan maut. Dialah satu-satunya menantu perempuan saya, takdir telah memisahkan dia dengan saya didalam usianya yang masih muda. Untuk rakan artis yang mengenali saya pasti kenal akan "arwahnya" kerana beliau sering menemani saya dimana saja saya membuat persembahan disekitar tahun 2006.
Sedikit koleksi gambar-gambar Laila untuk kenangan abadi
Kenangan Laila Bersama Artis dll.
Al-Fatihah !
Hari ini hari Laila... hari kita pasti akan tiba nanti.
Dari Allah Dia datang kepada Allah Dia kembali.
Semoga Allah S.w.t memberi keampunan
serta dicucuri rahmat keatas rohnya.

Segala yang telah berlaku tidak dapat dielakkan lagi,
kita hanya mampu berserah pada takdir Allah S.w.t.

Jumaat, 23 Januari 2009

Kenali Keluarga Saya (Bhg.1)

Salam kepada semua, kali ini saya ingin memperkenalkan ahli keluarga saya yang amat saya cintai kepada anda...
Suami saya,
Wan Ahmad Kamal Bin Wan Din
Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah, adik bongsu lelaki tunggal dari 3 orang adik-beradik perempuan.. Wan Hajar, Wan Zainah & Wan Saleha, cucu kepada Shahbandar Kuala Wan Abdullah bin Dato'Seri Indera Mambang Senggara Shahbandar Kedah Wan Mohamad Taib.
Beliau sangat berbudi pekerti serta berbakat didalam bidang seni, amat mahir melukis, bermain biola, gitar dan juga piano, banyak lagu-lagu dan lirik telah diciptanya semasa beliau berkhidmat dengan Radio Malaya dan juga RTM, antara ciptaannya yang masih dikenali sehingga kini adalah lirik untuk lagu patriotik "Tanah Pusaka", lagu-lagu saya seperti "Kekasih Pujaan", "Selamat Malam", Hidup Ibarat Mimpi", "Seribu Janji", juga untuk lagu istimewa "Namun Ku Punya Hati" nyanyian Rohana Jalil yang mana telah menjadi juara didalam pertandingan "Pesta Lagu Malaysia Ke2", lagu itu telah dicipta, dirakam dan dinyanyikan semula oleh Freddie Fernandez didalam album "Dari Revolvers", serta banyak lagi lagu-lagu untuk artis-artis popular tanahair seperti Jamal Abdillah, Salamiah Hassan, Ahmadi Hassan, A.Ali, Noreen Noor, Malek Ridzuan, Mazuin, L.Ramlee, Wah Idris dll. Kebanyakan hasil ciptaannya tidak diketahui ramai kerana beliau sering menggunakan nama-nama samaran didalam karyanya.
................................................................................
Wan Ahmad Kamal... dialah orangnya yang telah mendidik saya sehingga menjadi penyanyi yang diminati ramai suatu masa dulu, dia mengajar saya tentang segalanya untuk menjadi penyanyi yang berjaya, bermaruah dan dihormati, dia sentiasa memberikan perlindungan kepada saya dari segala perkara yang buruk dan tidak diingini semasa saya berada didalam dunia seni. Tanpanya mungkin saya tidak akan dikenali, diminati dan dihormati seperti sekarang. Saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T. diatas segala pemberianNya.
Saya telah berkahwin dengannya pada 23hb.September 1960 di Gombak Setia, Kuala Lumpur dan suami saya telahpun kembali kerahmatullah pada tanggal 27hb.Jun 1986, walaupun setelah sekian lama saya kehilangan beliau, namun hati saya akan tetap mencintainya buat selama-lamanya... Insyallah !
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Anak-anak saya, semuanya ada 4 orang, 2 lelaki dan 2 perempuan, 3 masih hidup dan 1 sudah meninggal dunia.
Anak sulong saya, Wan Shakhariah Anum(Wan Anum)
Wan Anum lahir di Kuala Lumpur, beliau pernah bergiat dibidang seni sejak tahun 1981 sebagai penyanyi latar bersama Liza Aziz, kumpulan mereka dikenali sebagai "Lizawan", mereka terlibat didalam aktiviti konsert dan rakaman album untuk artis-artis seperti; Azean Irdawaty, Khaty/Khatijah Ibrahim, Yasmin Yusoff, D.J.Dave, Jay-Jay, Raziz Ismail, Rohana Jalil, Fauziah Ahmad Daud, Aman Shah, Azlina Aziz, Sheila Majid, Sharifah Aini, M.Nasir serta ramai lagi artis-artis tanahair, dan telah terlibat sepenuhnya didalam konsert dan rakaman album Allahyarham Sudirman Haji Arsyad. Dengan menjadi penyanyi latar kepada persembahan artis-artis terkenal tersebut, Wan Anum telah berpeluang bertugas keluar Negara, seperti ke Korea, Dubai, Kuwait, Indonesia, Singapura dan ke seluruh negeri-negeri di Malaysia.
Wan Anum juga pernah merakamkan sebuah album bersama Liza Aziz didalam "Lizawan", album tersebut juga pernah mendapat sambutan dengan lagu-lagunya seperti; Dunia Yang Ku Cuba, Zaman Gerak Cepat dll.
Wan Anum telah bersara dari bidang nyanyian pada tahun 1991 dan kini menumpukan sepenuh perhatiannya kepada rumahtangga dan mendidik anak-anak, telah 21 tahun berkahwin dengan Norazmy Bin Abd Rashid dan mempunyai 2 orang anak lelaki, Nor Syazwan Arasy dan Nor Akmal Asraff.
...............................................................................................................................
Gambar-gambar kenangan....
bersama-sama staff production Sudirman Haji Arsyad
bersambung ke Bhg2... dalam Pembinaan, Harap Maaf !

Ahad, 21 Disember 2008

Senarai Album Asiah Tuah

Album Pertama 1961
INTRODUCING ASIAH TUAH
(Ulasan di kulit album) Born in Klang in 1944, petite Asiah Tuah came from musical family. Her singing carreer started at the age of nine when she faced the microphone with her father's amature band and at the kampong function. Later came her discovery by Radio Malaya and she featured in most of the big band recordings and variety shows. She is undoubtedly one of the most promising new singers of Malaya today. We have great pleasure in introducing her here, singing a number of modern compositions,all by Malayan composers, as the second of our Music of Malaya series. You can probably recognise the Orchestra with is the H.H.Tan Sexiest playing in one of Malaya's biggest Hotel at present.

Pada tahun 1959, dipertandingan akhir Bintang Radio, saya dijemput menyanyi sebagai jemputan, pada masa itu pengadil-pengadil dari syarikat rakaman Singapura telah berminat dengan suara nyanyian saya, kemudian saya telah disokong oleh Dato' Ahmad Marican untuk membuat rakaman suara ke piring hitam. Dato'Ahmad Marican, Alfonso Soliano dan Wan Ahmad Kamal adalah yang bertanggungjawab memilih, mencipta lagu dan lirik untuk album pertama saya itu, setelah siap 4 lagu dirakamkan, album ini dihantar ke India selama 8 bulan untuk proses terakhir menerbitkan piring hitam tersebut, Alhamdulillah, keempat-empat lagu tersebut telah berjaya mendapat sambutan hangat oleh para peminat. Inilah lagu-lagu yang terdapat didalam album pertama saya.

  1. MARI BERDENDANG DENGAN KU : AkbarNawab / Wan Ahmad Kamal.
  2. KEKASEH PUJAAN : Sharifuddin Majid / Wan Ahmad Kamal.
  3. RENUNGAN : Akbar Nawab / Wan Ahmad Kamal. Not many local vocalists like to try a tune in Paso Double tempo. Here's Asiah in her creditable affort.
  4. IKATAN JANJI : Ahmad Hashim / Wan Ahmad Kamal. A sure hit number with music composed by a Johor Pianist. It already being hummed everywhere. This is probably the first time you hear it on a record, and is in our opinion the best piece on the disc. Do you agree ?


Album Kedua 1962
ASIAH TUAH IN LATIN MOOD
(Ulasan di kulit album) Following her first successful E.P. RE:7202 in which her songs " Kekaseh Pujaan" climbed high on the Malayan Hit Parade; Asiah Tuah now introduces 3 more hits in the Cha Cha beat. Lovers of Latin rhythms will also welcome the instrumental number "Tanah Melayu Cha Cha" included in this E.P. Let us see how we can compare with the foreign compositions.

  1. SELAMAT MALAM : Alfonso Soliano/ Wan Ahmad Kamal.
  2. HIDUP IBARAT MIMPI : A.R.Ismail/ Wan Ahmad Kamal.
  3. BAHAGIA SELALU UNTUK MU : Nordin Ismail.
  4. TANAH MELAYU CHA CHA (Instrumental) : Alfonso Soliano.
Musical backing is by Malaya's best small combinations "The Alibong Quintet"



Album Ketiga 1967

ASIAH TUAH dengan Iringan THE THUNDERBOLT 5+1

  1. KHAYAL PESTA : John Lim / Wan Ahmad Kamal
  2. TERUNA IDAMAN KU : Alfonso Soliano / Johar Bahar
  3. MUNGKIR : John Lim / Wan Ahmad Kamal
  4. SERIBU JANJI : Yusof Ismail / Wan Ahmad Kamal


(maaf, ulasan dalam pembinaan !)

Dapatkan Mp3/CD lagu-lagu tersebut dengan menghantar Email kepada saya dialamat: asiahtuah@gmail.com

Selasa, 16 Disember 2008

"SELAMAT DATANG" ke Blog Asiah Tuah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. , setelah berusia 64 tahun, dengan nasihat, dorongan dan usaha anak-anak saya, kini saya telah ada laman web sendiri, saya amat mengalu-alukan anda semua untuk terus berinteraksi dengan saya, laman ini saya dedikasikan khas untuk semua insan yang pernah meminati dan mengenali diri saya, juga sebagai tempat rujukan maklumat terkini diri saya.

Ribuan terima kasih kepada semua peminat-peminat, terima kasih juga kepada pihak keluarga, saudara-mara, rakan-rakan artis, juga khas kepada komposer dan penulis lirik yang telah banyak memberi asuhan, bimbingan dan sokongan pada kehadiran saya didunia seni selama ini.

Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak media cetak dan media elektronik seperti pihak Akhbar, ASTRO, TV3 dan khas kepada RTM terutamanya kepada saluran radio "Klasik Nasional" kerana masih terus sudi memutarkan lagu-lagu nyanyian saya, berkat usaha anda semualah saya masih lagi diingati sehingga ke hari ini.

Kepada semua peminat, jengok-jengoklah selalu laman web saya ini, sudilah kiranya menghantar gambar dan kabar berita, sokongan anda amat penting bagi saya untuk terus menulis, dengan adanya laman ini dapatlah kita bersama-sama berkongsi cerita dan bertanya kabar berita, dan yang paling penting dapatlah saya mengenali semua peminat-peminat yang masih ada, tiada hadiah yang lebih bernilai untuk diri saya selain dari mengenali semua insan-insan yang setia menyokong dan meminati saya selama ini.

Salam Sejahtera semua dan jumpa lagi...

Asiah Tuah.
16Dec2008
....................................................................................................................................................................


Jika anda ingin memiliki koleksi lagu-lagu saya didalam format Mp3. ataupun CD, silalah email terus kepada saya dialamat: asiahtuah@gmail.com (download Mp3 adalah percuma, CD tulen dengan gambar & tandatangan saya akan diberikan kepada anda yang sedia memberikan identiti(nama dll.) dan juga sudi memberi sedikit sumbangan ikhlas untuk menampung kos penerbitan CD saya tersebut)